|
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Alhamdulillah, saya rasa amat bersyukur kerana kita telah berjaya mengadakan
program ini, Musabaqah Tahfiz Al-Amin 2007, iaitu satu program yang
julung-julung kalinya diadakan oleh Sek Men Islam Al-Amin dan julung-julung
kalinya diurusetiakan oleh ATACE. Ia juga diadakan pada hari pertama tahun
Hijrah 1428, satu tarikh yang sungguh cantik untuk program seumpama ini,
semoga ia akan disemadikan sebagai tarikh yang bersejarah buat Sek Men Islam
Al-Amin amnya dan ATACE khasnya.
Saya berharap, program musabaqah tahfiz
ini akan menjadi program tahunan ATACE. Insya-Allah, Musabaqah Tahfiz
Al-Amin 2008 akan lebih mantap dan mampu menjemput penyertaan pusat-pusat
tahfiz lain dan mendedahkan pelajar-pelajar kita dengan persaingan yang
lebih hebat lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Tiga
tahun dahulu, pada bulan Julai 2004 program tahfiz di Sek Men Islam Al-Amin
Gombak dimulakan dengan 16 orang pelajar atas inisiatif PIBG pada masa itu.
Program ini telah mendapat pembiayaan oleh PIBG sebanyak RM30,000 setahun
sejak tahun tersebut hingga ketahun 2006. Pada masa yang sama, Kelab Kelas
Tahfiz Sek Men Islam Al-Amin juga telah diaktifkan.
Walaupun dalam keadaan yang dhaif,
terpaksa menumpang dewan Zawiyah yang selalunya dalam keadaan yang gawat
dengan pelajar-pelajar lain, tidak mempunyai guru-guru tahfiz yang cukup,
kurang mendapat keutamaan dan selalu bertembung dengan program-program
sekolah membuatkan pelajar-pelajar kita tidak dapat memberikan tumpuan
dengan sepenuhnya, Alhamdulillah, program tahfiz ini telah diteruskan dengan
jayanya atas bimbingan dan usaha gigih Cikgu Norma Mohd kita, Guru
Penyelaras Tahfiz SMIAAG.
Sekarang ini, program tahfiz Sek Men Islam
Al-Amin telah mempunyai lebih kurang 80 pelajar, iaitu peningkatan sebanyak
40% setahun, merangkumi pelajar-pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dan 11
orang guru-guru tahfiz. Kita juga bakal melahirkan sekurang-kurangnya dua
orang huffaz tiga puluh juzu’, anak didik sepenuhnya program tahfiz kita
ini, pada pertengahan tahun depan, insya-Allah.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Pada
tahun lepas, KKT telah diperkemaskan lagi. Barisan AJK KKT kita pada tahun
lepas telah berganding bahu dengan Cikgu Norma menyusun perancangan dan
strategi bagi memantapkan program tahfiz kita ini. Antara inisiatif yang
dibuat ialah menyelaras kurikulum tahfiz agar ia lebih sistematik dan
berkesan, mengkaji keperluan guru-guru tahfiz dan mengadakan guru-guru
tahfiz yang berkelayakan, mengkaji keperluan kewangan dan merancang dan
melaksanakan sistem kewangan yang lebih tersusun, dan merancang keperluan
infrastruktur program tahfiz kita.
Dalam segala perancangan yang kita buat,
kita mendapat sokongan yang padu daripada pehak sekolah dan juga pehak PIBG.
Kita juga sungguh bernasib baik kerana dapat berusahasama dengan Program
Tahfiz Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM dan dapat bernaung dibawah
persatuan pelajar-pelajar tahfiz UIAM, Jami’ah Khadamatil Quran, yang
mempunyai lebih 300 orang hafiz dan hafizah. Suka saya menyebut di sini
bahawa bimbingan Ustaz Adam, Pengarah Tahfiz Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,
terutamanya dalam merancang strategi kurikulum tahfiz kita, amat membantu
mempermudahkan usaha-usaha kita, Alhamdulillah.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Seperti
yang saya sebut awal tadi, sokongan PIBG dalam setiap segi—moral, tenaga,
dan kewangan—telah menjadi tulang belakang kepada program tahfiz kita.
Tetapi atas sebab-sebab yang tertentu, pehak PIBG berkemungkinan besar hanya
akan meneruskan sumbangan moral dan tenaga tetapi akan memberhentikan
sumbangan kewangan yang bernilai RM30,000 setahun, bermula pada tahun ini.
Walau apa pun, ini bermakna program tahfiz kita perlu berdikari dalam
menangani isu kewangan kita.
Tuan-tuan dan puan. Sekiranya bantuan
kewangan PIBG diberhentikan, pengurusan program tahfiz kita akan lebih
mencabar lagi bermula pada tahun ini. Dalam usaha kita meningkatkan prestasi
program tahfiz kita, kita terpaksa menambah kos overhead yang berganda yang
terpaksa kita menanganinya bersama-sama bermula pada tahun ini. Pihak KKT
telah mengatur perancangan strategi awalan untuk menangani cabaran ini.
Antranya, pihak KKT dengan persetujuan dan
sokongan sekolah dan PIBG, akan mendaftarkan ATACE, Al-Amin Tahfiz Centre,
sebuah syarikat berdaftar Limited by Guarantee. ATACE akan menjadi vehicle
untuk kita memantapkan pengurusan program tahfiz kita ini—dalam mengawasi
kualiti program, dalam menguruskan fasiliti dan infrastruktur, dalam
menguruskan kewangan, dalam mencari bantuan kewangan—untuk menangani cabaran
mendatang, insya-Allah.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Akhir
sekali, pada hari yang berbahagia dan bersejarah ini, saya ingin mengambil
peluang untuk merayu kepada semua—ibubapa, guru-guru, dan
pelajar-pelajar—bersama-samalah kita berusaha menjadikan ATACE satu program
tahfiz yang berjaya. Bersama-samalah kita berusaha menyediakan suasana dan
sistem tahfiz yang terbaik untuk anak-anak kita agar kita dapat melahirkan
pelajar-pelajar soleh wa musleh yang terbaik, “Generasi al-Quran Penjana
Kecemerlangan,” insya-Allah.
|