|
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Dalam
ucapan ringkas saya dipagi yang mulia ini, saya ingin menyentuh tiga perkara
mengenai program tahfiz kita. Pertamanya ialah mengenai apakah
“significance” program tahfiz ini kepada SMIAAG. Keduanya, mengenai
pelajar-pelajar tahfiz kita. Dan ketiganya mengenai perancangan
infrastruktur sekolah khusus buat program tahfiz kita ini.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Setelah
tiga tahun program tahfiz di SMIAAG, ia mula mendapat perhatian daripada
pelbagai pihak, terutamanya daripada kalangan ibubapa. Ini adalah kerana
program tahfiz ini telah menunjukkan potensi yang baik. Ia juga memenuhi
kehendak ibubapa yang mahukan anak mereka menjadi huffaz dan pada masa yang
sama mengikuti sukatan kurikulum akademik kebangsaan dan dinniah rangkaian
Al-Amin.
Ibubapa juga sedar, dengan mengikuti
program tahfiz di SMIAAG ini, hubungan ekrab kekeluargaan “the family
bonding” yang amat penting dalam pembentukan keperibadian diri anak-anak
akan tetap terpelihara sekurang-kurangnya sehingga anak mereka tamat
tingkatan lima. Bayangkanlah betapa lapangnya rasa hati ibubapa apabila
diakhir persekolahan di SMIAAG ini, anak mereka mempunyai pelajaran akademik
dan dinniah yang mantap dan juga berjaya menjadi seorang huffaz 30 juzu’.
Insya-Allah, apabila anak mereka melangkah keluar meninggalkan rumah untuk
meneruskan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, mereka akan dapat
melepaskan anak mereka dengan hati yang yakin dan tenang.
Oleh yang demikian, tuan-tuan dan
puan-puan sekalian, secara tidak langsung, program tahfiz kita ini menjadi
salah satu faktor tarikan SMIAAG dan menjadikan SMIAAG sekolah pilihan
ibubapa.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Pelajar-pelajar yang mengikuti program tahfiz di SMIAAG ini adalah
pelajar-pelajar yang terpilih. Ini adalah kerana program tahfiz ini
memerlukan komitmen yang tinggi bukan sahaja daripada pelajar-pelajar itu
sendiri bahkan daripada ibubapa mereka. Pelajar-pelajar tahfiz perlu cekap
menyusun masa dan mengimbangi priority kehidupan mereka agar kecemerlangan
mereka dalam segenap segi akan dapat diterus and ditingkatkan lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Pelajar-pelajar tahfiz SMIAAG merupakan pelajar-pelajar contoh di sekolah
ini. Kebanyakan mereka adalah tokoh-tokoh pemimpin sekolah, sebagai
pengawas-pengawas sekolah dan sebagai ketua-ketua dipersatuan-persatuan
ko-kurikulum. Sebagai contohnya Ketua Pengawas Banin dan Banat pada tahun
ini adalah pelajar-pelajar tahfiz kita.
Dari segi akademik pula, pelajar-pelajar
tahfiz, yang sememangnya daripada kalangan pelajar-pelajar cemerlang, tetap
meneruskan kecemerlangan mereka. Pada tahun lepas lapan pelajar tahfiz
menduduki PMR. Kesemua mereka mendapat keputusan cemerlang; tiga daripada
mereka mendapat keputusan 9A.
Saya yakin, mukjizat al-Quran membawa
keberkatan kepada mereka dan saya yakin keberkatan itu akan dipanjangkan
kepada SMIAAG secara keseluruhannya, insya-Allah.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kita
sedar, pelajar-pelajar tahfiz kita terpaksa menghadapi suasana pembelajaran
yang tidak kondusif setiap hari. Keadaan yang menyedihkan ini mendapat
perhatian pihak pengurusan sekolah. Untuk menangani masalah ini, pengurusan
SMIAAG telah memasukkan ke dalam pelan cadangan pembinaan baru SMIAAG
keperluan tempat yang sesuai dan selesa buat program tahfiz. Tempat yang
dicadangkan ialah sebahagian daripada surau yang akan dibina. Insya-Allah
surau tersebut adalah bangunan yang paling awal akan dibina dan dijangka
siap pada akhir 2007 ini.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Akhir
kata, saya ingin mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat dalam
menjayakan program tahfiz kita ini amnya dan Musabaqah Tahfiz Al-Amin 2007
ini khasnya. Saya juga mengambil peluang ini merayu kepada ibubapa agar
memberikan komitmen dan sokongan yang padu kepada program tahfiz kita ini
agar kita bersama-sama mendapat keberkatan dalam usaha kita melahirkan
pelajar-pelajar soleh wa musleh.
|