Archive for November, 2007

Hifz classes during school holidays

Tuesday, November 27th, 2007

Shafiq & AzhariDuring this end of year school holidays, our hifz students have Monday to Friday 8:30am to 12:30pm classes until 18 December 2007. This year attendance is better than last year. Alhamdulillah, I was told that students are behaving well and in high spirit.

Ust amin

Ust Jumadi

Pembentukan Jawatankuasa Kecil ATACE

Sunday, November 25th, 2007

Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pada perjumpaan pertama AJK baru ATACE pada 17-Nov-2007, empat Jawatankuasa Kecil ditubuhkan iaitu Pentadbiran & Kewangan, Pencarian Dana, Aktiviti & Program, dan Hal-Ehwal Pelajar & Disiplin.

 

JAWATANKUASA KECIL

KEANGGOTAAN

TUGAS & TANGGUNGJAWAB

PENTADBIRAN & KEWANGAN

Pn Junaidah Ibrahim (Ketua)

En Azizi Haji Abu Bakar

En Ahmad Hasbullah Hassan

1. Perakaunan

2. Manual Operasi ATACE

3. Pemantauan prestasi guru-guru

4. Perancangan & penyelenggaraan infrastruktur

5. Komunikasi dengan SRIAA, SMIAA, PIBG, dan ibubapa

6. Menyelenggara laman web

PENCARIAN DANA

Pn Sarifah Yaacob (Ketua)

En Omar Satari

1. Merancang & mencari dana daripada sumber-sumber yang dikenalpasti

2. Merangka program untuk menjana dana

AKTIVITI & PROGRAM

En Mohd Daud Mahyuddin (Ketua)

Pn Roslina Mohamad

1. Merancang dan melaksanakan rehlah pelajar, program kebajikan guru-guru, dan program ukhuwwah ibubapa, guru-guru, dan pelajar

2. Penasihat kepada PETA

HAL-EHWAL PELAJAR
& DISIPLIN

Pn Jamilah Ab Hamid (Ketua)

En Mohd Zakil Hussin Aziz

Pn Rubiah Ahmad

1. Memantau kualiti pencapaian pelajar

2. Memantau disiplin pelajar melalui spot checks dan penyeliaan penggunaan prosedur disiplin

3. Penasihat kepada Majlis Disiplin

Wassalamu’ Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sorotan perjumpaan ATACE, SMIAA, PIBG pd 18-Nov

Thursday, November 22nd, 2007

Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kehadiran perjumpaan

Berikut ialah sorotan perjumpaan AJK ATACE dengan pihak sekolah dan PIBG pada 18-November-2007, jam 9:30am-12:00pm di Kelas 1 Zaid, SRIAAG.

Kedudukan ATACE selepas berdaftar dengan ROS? Sekolah risau ATACE akan terkubur apabila AJK ATACE yang aktif sekarang tiada lagi. Sekolah juga membuat tanggapan bahawa kutipan yuran dan pengurusan akaun tidak teratur dan ATACE, apabila sudah berdaftar dengan ROS, akan menjadi sebuah organisasi bebas tanpa hubungan dengan sekolah.

  1. Pada perjumpaan ibubapa pada 16 April 2006, ibubapa diberitahu oleh wakil PIBG (dan juga Bendahari PIBG pada masa itu) En. Fazlur, bahawa PIBG akan menghentikan bantuan RM30,000 setahun kepada program Tahfiz bermula Jan 2007. PIBG mahu agar program Tahfiz berdikari.
  2. Bagi menyambut cabaran tersebut, AJK Kelab Kelas Tahfiz yang dilantik pada 16 April 2006 membuat keputusan menubuhkan ATACE dan telah dipersetujui oleh PIBG dalam mesyuarat mereka pada 16 Julai 2006 (Minit mesyuarat AJK ATACE, No 6, bertarikh 16-Julai-2006). ATACE akan didaftarkan dengan Registrar of Societies (ROS) dan ia menjadi infrastruktur utama dalam usaha program Tahfiz al-Amin untuk menjadi sebuah organisasi yang mampu berdikari.
  3. ATACE juga ditubuhkan dengan misi membina sebuah struktur organisasi yang teratur dan kemas dan dilengkapi dengan Manual Operasi ATACE yang sentiasa dikemas kini. Usaha-usaha ini dibuat agar ATACE bukan sahaja akan terus utuh sebagai sebuah institusi pengajian Tahfiz bahkan ia akan menjadi sebuah organisasi yang sentiasa berkembang maju dengan percambahan secara francais.
  4. Insya-Allah, dengan wujudnya ATACE yang berdaftar dengan ROS dan juga dengan adanya Manual Operasi ATACE, risiko ATACE akan terkubur dengan ketiadaan AJK ATACE yang aktif sekarang ini dapat diminimakan sebanyak mungkin.
  5. Pendaftaran ATACE dengan ROS juga membolehkan ATACE memohon kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agar diiktiraf sebagai sebuah organisasi yang melayakkan penderma kepada dananya mendapat pengecualian cukai atas jumlah yang didermanya. Pengiktirafan ini penting untuk mempermudahkan usaha mencari dana, satu sumber kewangan utama ATACE.
  6. Taakulan bahawa setelah ATACE berdaftar dengan ROS ATACE akan menjadi organisasi bebas, tanpa hubungan dengan sekolah adalah satu falasi. ATACE beroperasi di sekolah, ditubuhkan atas inisiatif PIBG sekolah, dan pelajar-pelajarnya adalah 100% pelajar-pelajar sekolah al-Amin. Ia memenuhi kehendak ibubapa yang mahu anak mereka menjadi seorang Hafiz al-Quran disamping mengikuti pembelajaran akademik kurikulum sekolah al-Amin.
  7. Telah diminitkan dalam mesyuarat AJK ATACE yang kelima tahun 2006 bertarikh 28-Mei dan seperti yang digariskan dalam cadangan konsep penubuhan ATACE bertarikh 1-Julai-2006 yang diserahkan untuk pertimbangan PIBG pada perjumpaan AJK PIBG pada tarikh yang sama bahawa ahli ATACE adalah ibubapa pelajar-pelajar ATACE dan dasar perjalanan operasi ATACE akan ditentukan oleh sebuah Lembaga Pemegang Amanah. Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah ini pula akan terdiri daripada wakil-wakil PPA, sekolah, PIBG sekolah, dan ibubapa pelajar-pelajar ATACE. Penyusunan organisasi begini adalah bertujuan agar ATACE beroperasi selari dengan aspirasi umum PPA, sekolah, dan PIBG.
  8. Tanggapan bahawa pengurusan kewangan ATACE tidak teratur adalah tanggapan yang meleset dan dakwaan tanpa fakta. Perakaunan ATACE dibuat dengan teliti, sistematik, dan berkomputer oleh Pn Junaidah, mengorbankan banyak masa rehat waktu malam dan hujung minggu beliau. Insya-Allah semua transaksi ada rekod dan direkodkan. Setiap bulan, Pn Junaidah terpaksa meneliti buku-buku resit sekolah dan resit PIBG untuk mengesan duit yuran Tahfiz yang dibayar oleh ibubapa melalui pejabat sekolah. Selain itu, dengan bantuan Cikgu Roslina, beliau membuat susulan dengan surat dan telefon kepada ibubapa yang lalai atau tertunggak membayar yuran. Alhamdulillah, gandingan mantap Pn Junaidah dan Cikgu Roslina menangani isu yuran ini, peratus kutipan yuran telah meningkat daripada kurang daripada 30% pada April 2006 kepada 81% sekarang ini.

Kehadiran perjumpaan

Guru Penyelaras/Mudir ATACE daripada guru sekolah Menurut sekolah, apabila Guru Penyelaras terdiri daripada guru sekolah, Guru Penyelaras tersebut akan dapat memastikan kesinambungan dan juga komunikasi yang baik dengan SMIAA. Sekolah juga beranggapan Guru Penyelaras daripada sekolah dapat menyelesaikan masalah disiplin pelajar, agar ia lebih terkawal.

  1. Semasa AJK ATACE mengambil alih pengurusan dan kewangan ATACE pada 16 April 2006, Guru Penyelaras Tahfiz ialah Cikgu Norma. Beliau adalah seorang yang sangat komited kepada program Tahfiz al-Amin. Walaupun selalu diasak oleh pengurusan sekolah dan mendapat tohmahan guru-guru yang irihati atas tumpuan masa beliau kepada program Tahfiz, beliau tetap tegas dan istiqamah dalam usaha beliau menentukan agar program Tahfiz al-Amin dapat diteruskan.
  2. Setelah Cikgu Norma berpindah ke SMI Hidayah di Johor Bahru, atas syor Cikgu Norma dan beberapa orang AJK ATACE, AJK ATACE membuat keputusan melantik Cikgu Roslina sebagai Guru Penyelaras. Perlantikan beliau berdasarkan kepada kelayakan, potensi beliau sebagai pentadbir yang baik dan, yang paling utama, fleksibiliti beliau berkerja dengan AJK ATACE walaupun terpaksa menggadaikan waktu rehat malam atau hujung minggu.
  3. Cikgu Roslina telah banyak berkorban tenaga untuk ATACE ketika ATACE memerlukannya. Komitmen yang tinggi, kebolehan yang ditauliahkan, dan pendekatan yang fleksibel—semua kualiti seorang Guru Penyelaras ATACE yang menjadi aset utama yang tidak ternilai harganya semasa ATACE dalam peringkat bertatih dalam proses menjadi sebuah organisasi yang baru mula berdikari.
  4. 18 bulan sudah berlalu sejak perjumpaan 16 April 2006 dan sudah hampir setahun ATACE utuh berdikari. Alhamdulillah, ATACE berjaya menghadapi berbagai rintangan dan cabaran setakat ini. Memandang ke hadapan, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memperkasakan ATACE. Apa yang AJK ATACE telah buat setakat ini hanya 20%, mungkin kurang lagi daripada itu.
  5. ATACE akui ada masalah komunikasi antara ATACE dan sekolah. Ia seperti pendawaian yang terputus. Menyedari hakikat tersebut, jalan penyelesaiannya ialah mencari dawai yang terputus tersebut dan membaik pulih.
  6. ATACE cadangkan agar Ketua Jabatan al-Quran & Ilmu Teras menjadi AJK ATACE agar sekolah akan sentiasa mendapat akses kepada isu-isu semasa dan maklumat terperinci perjalanan ATACE bila dilapor dan dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat AJK ATACE. Alhamdulillah, cadangan ini diterima oleh PIBG dan wakil sekolah. Alhamdulillah, serta-merta ATACE mendapat seorang AJK baru, iaitu Ketua Jabatan al-Quran & Ilmu Teras yang kini disandang oleh Ust Ahmad Nadzri Mohamed Ramli.
  7. Selain itu, sekiranya perlu, ATACE juga bersedia membincangkan kemungkinan meletakkan seorang guru sekolah sebagai Timbalan Guru Penyelaras ATACE.
  8. Hakikatnya, pelajar-pelajar ATACE adalah pelajar-pelajar sekolah al-Amin. Lantaran itu, kemerosotan disiplin pelajar-pelajar ATACE membayangkan kemerosotan umum disiplin pelajar-pelajar sekolah al-Amin. Tanggungjawab memantau disiplin pelajar-pelajar sekolah al-Amin adalah tanggungjawab semua pihak yang terlibat dengan sekolah al-Amin. Kita harus positif dan proaktif dalam menangani isu ini bersama-sama dan tidak hanya menuding jari menyalahkan pihak ATACE sahaja.

SMIAA bercadang memasukkan empat orang lagi guru-guru SMIAA ke dalam ATACE

  1. Insya-Allah, pada tahun hadapan pelajar-pelajar ATACE akan meningkat. Oleh itu, kemungkinan besar ATACE perlu menambah guru-guru.
  2. Walaubagaimanapun, sama seperti pelajar, ATACE mempunyai prosedur pengambilan guru dan ATACE harus bebas dalam membuat keputusan dalam perkara ini.
  3. Bagi ATACE, selain daripada mengambil kira faktor kelayakan, seperti yang tercatat dalam minit mesyuarat AJK ATACE yang keempat tahun 2006 bertarikh 21-Mei, pemilihan guru-guru juga semestinya berdasarkan kepada faktor sepadanan dengan dan kebolehan memotivasikan pelajar-pelajarnya. Faktor ini adalah sangat penting. Ini kerana sekolah kita bukan Maahad Tahfiz. Pelajar-pelajar kita, yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang cemerlang di sekolah ini, mempunyai banyak komitmen akademik dan ko-korikulum. Oleh itu, mereka memerlukan sokongan yang mantap daripada guru-guru ATACE untuk cemerlang dalam hafalan mereka disamping cemerlang dibidang-bidang akademik dan ko-kurikulum yang mereka ceburi.
  4. Pelajar–pelajar ATACE perlu kental; dengan adanya guru yang memahami dan boleh mendorong, ia akan memudahkan lagi jihad mereka dalam usaha menjadi pemelihara al-Quran.

Menggulung pembentangan ATACE, Tn Hj Abdul Rahim Sinwan, Timbalan Pengerusi ATACE, umpamakan status program Tahfiz al-Amin sekarang ini ialah seperti sebuah keretapi yang sedang laju. Sekiranya sekolah berkeras juga mahu mengambil alih program Tahfiz ini atau memaksakan ATACE mengikut kehendak sekolah seperti meletakkan guru sekolah menjadi Guru Penyelaras ATACE, ia boleh menggelincirkan keretapi tersebut daripada landasannya; ia sama seperti satu usaha perbuatan sabotaj.

Sebagai rumusan, Prof. Ir. Dr. Azahari Md Salleh, Pengerusi, PIBG SMIAAG, menggesa semua pihak yang terlibat dengan program Tahfiz al-Amin agar bersikap dan bertindak positif demi menjaga agar program Tahfiz al-Amin yang dikelolakan oleh ATACE ini berjalan lancar dan berjaya, insya-Allah.

Wassalamu’ Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Laporan Prestasi Pelajar Jun-Okt 2007

Tuesday, November 20th, 2007

Assalamualaikum wbrt.

Laporan prestasi pelajar bagi jangka masa Jun-Okt 2007 boleh anda lihat di sini http://www.atace.org/atace_6.htm. Statistik prestasi penambahan tersebut seperti di bawah ini:

Statistik pencapaian pelajar

Secara kumpulan, apabila kita bandingkan prestasi Ting 1, 2, 4 dan SRIAAG (Ting 3 adalah tahun peperiksaan), pelajar-pelajar Tingkatan 1 menunjukkan prestasi yang paling cemerlang manakala pelajar-pelajar Tingkatan 4 mencatatkan prestasi yang paling buruk. Dibandingkan dengan prestasi pelajar-pelajar SRIAAG, prestasi pelajar-pelajar Tingkatan 4 adalah lebih tidak konsisten walaupun bilangan mereka kurang daripada SRIAAG.

Pertambahan ahli AJK ATACE

Tuesday, November 20th, 2007

Assalamualaikum wbrt

AJK ATACE telah mengadakan perjumpaan yang pertama pada 17-Nov-07, iaitu hari Sabtu, bermula jam 10:30am dan tamat jam 12:00pm. Dalam perjumpaan itu, AJK sebulat suara menjemput En Mohd Daud Mahyuddin menganggotai AJK ATACE. Alhamdulillah, En Mohd Daud menerima jemputan tersebut, bersetuju menjadi ahli AJK ATACE.

Pada hari berikutnya pula, Ahad 18-Nov-07, beberapa orang wakil AJK ATACE telah bermesyuarat dengan AJK PIBG dan beberapa orang wakil SMIAA. Mesyuarat memutuskan agar Ketua Jabatan Al-Quran & Ilmu Teras menjadi ahli AJK ATACE sebagai wakil bagi pihak sekolah.

AJK ATACE 2008

Selamat datang dan selamat bertugas kepada ahli-ahli AJK yang baru. Semoga Allah mempermudahkan dan memberkati usaha kita menjayakan ATACE.

Perjumpaan Umum Tahunan ATACE

Wednesday, November 14th, 2007

Alhamdulillah, Perjumpaan Umum Tahunan ATACE telah diadakan pada 8 November 2007, jam 10:30am-12:00pm di Dewan Serbaguna SRIAAG. Ia dihadiri 36 ibubapa dan guru-guru.

Daftar Kedatangan PUTA 07

Agenda perjumpaan adalah seperti berikut:

  1. Laporan Aktiviti ATACE
  2. Laporan Kewangan
  3. Pemilihan AJK 2007-2008
  4. Melawat Kabin Pejabat ATACE
  5. Jamuan Hari Raya

AJK ATACE 2008
Tahniah kepada AJK-AJK baru, semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk menabur bakti kepada ATACE khasnya dan Deen Islam secara amnya.

Mungkin disebabkan laporan yang disampaikan oleh En Abdul Rahim dan Pn Junaidah komprehensif dan memuaskan hati semua yang hadir, maka cuma tiga soalan diajukan pada sessi soal-jawab.

  1. En Kamarul BahrinEn Kamarul Bahrin Mohamad bertanya mengenai kemungkinan menambah bilangan pelajar ATACE. En Abdul Rahim menjawab ATACE menghadapi beberapa kekangan yang menghalang ia menambah bilangan pelajar. Kekangan utama ialah tempat. Selain daripada Kabin Pejabat ATACE, ATACE tidak mempunyai tempat khas. Walaubagaimanapun ini adalah kekangan bercorak sementara kerana, Insya-Allah, apabila surau Al Amin yang sedang dibina siap nanti, ATACE akan diberikan tempat khas. Selain daripada tempat, ATACE juga menghadapi masalah mendapatkan guru-guru yang berkelayakan dan membiayai kos operasi yang semakin meningkat.
  2. Pn Sarifah Yaacob meminta ATACE menyediakan saluran-saluran komunikasi bagi memudahkan ibubapa mendapat maklumat dan penjelasan mengenai program tahfiz ATACE. En Abdul Rahim mengambil maklum saranan ini dan berjanji akan menentukan ibubapa, terutamanya yang bercadang memasukkan anak-anak ke dalam program ATACE, akan mendapat maklumat yang jelas dengan mudah.
  3. Mlmh MahaniMlmh Mahani Mokhtar bertanya kemungkinan ATACE mendapat pengiktirafan Darul Quran JAKIM supaya apabila pelajar ATACE memasuki Darul Quran, mereka tidak perlu mula hafalan daripada kosong. En Abdul Rahim memaklumkan bahawa ATACE dalam rangka kerja memantapkan proses pembelajaran dan pentadbirannya agar sistematik. Insya-Allah, usaha mendapatkan pengiktirafan Darul Quran akan menjadi misi AJK ATACE untuk beberapa tahun hadapan.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam Perjumpaan Umum Tahunan ATACE ini. Penghargaan yang tidak terhingga kepada ibubapa, guru-guru, dan anak-anak Al-Amin yang bertungkus-lumus mengemaskan Dewan Serbaguna sebelum dan selepas mesyuarat dan yang membawa juadah untuk dikongsi bersama pada hari itu.

ATACE juga merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada SRIAAG–terutamanya atas kerjasama Ust Zubir, En. Ubai, Pn Habsah, Pn Azi–kerana membenarkan kami menggunakan Dewan Serbaguna dan juga kawasan kantin untuk aktiviti perjumpaan tersebut.

Pelajar-pelajar Darjah Empat, diketuai oleh Azhari (wakil PETA Darjah Empat), ditugaskan mengambil gambar-gambar semasa perjumpaan ini. Bila kita semua bermesyuarat, mereka pula raya sakan pergi main sana sini. Jadi tiadalah rekod gambar-gambar semasa mesyuarat. Walaumacamanapun, terima kasih kepada anak-anak kita ni semua.

Sila lihat suasana perjumpaan di sini http://www.atace.org/mtg07.htm.

Kabin kita …

Wednesday, November 14th, 2007

Kabin

Alhamdulillah, kabin Pejabat ATACE telah siap dan telah beberapa bulan digunakan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar ATACE. Dari luar nampak agak dhoif tapi insya-Allah dalamnya agak selesa dan kemas. Ia lengkap dengan alat penghawa dingin. Cumanya, ia agak kosong tanpa perabot. Alhamdulillah, baru minggu lepas, Pn Rubiah Ahmad awqafkan sebuah rak Quran.

External wiring outside cabinJumlah kos baik-pulih ialah RM4,250. Kita dah bayar RM4,050 dan pegang lagi RM200. Yang kita pegang lagi RM200 tu ialah kerana kita tidak puas hati kerja pendawaian elektrik di luar kabin, menyambung kabin dengan sekolah menengah. Ia tergantung macam ampaian kain. Kita minta kontraktor tanam kabel tu jadi ia lebih kemas dan selamat. Mengikut kontraktor, kalau nak tanam kabel, kosnya lebih tinggi, tambahan lagi RM500.

Insya-Allah, AJK ATACE baru akan bincangkan tindakan seterusnya dalam perjumpaan akan datang.