Archive for December, 2007

Lawatan ke Yayasan Restu

Sunday, December 9th, 2007

banin

Warga ATACE melawat Yayasan Restu (YR), pembina manuskrip al-Quran Mushaf Malaysia, pada 8 Dec 2007. YR letaknya di Kompleks Taman Seni Islam Selangor berhampiran dengan masjid besar Shah Alam. Rombongan sebuah bas dan dua buah van—45 pelajar, 8 guru, 6 ibubapa, 1 kanak-kanak—sampai di YR pada pukul 9:30 pagi dan bertolak pulang, selepas solat Zohor di masjid Shah Alam, pada pukul 2:30 petang. Alhamdulillah, rombongan ini selamat pergi dan balik serta dilayan baik oleh pihak YR. Pengalaman dan ilmu yang ditimba di YR sungguh bermakna kepada warga ATACE.

banat

Agenda lawatan ringkas sahaja. YR menyambut kami dengan sesi fotografi berkumpulan di tangga lobi Taman Seni Islam, penerangan ringkas dan tayangan video korporat oleh Pn Darina Mukhsin, “guided tour” dewan-dewan pameran dan dewan kerja penyalinan al-Quran dan karya seni YR, dan diakhiri dengan makan tengahari di kantin YR.

Setelah makan tengahari, memandangkan bas belum lagi sampai, kami berarak ke Masjid Shah Alam, menyeberang Jalan Damai beramai-ramai. Tak lama selepas selesai sembahyang Zohor, bas sampai dan kami berangkat pulang ke al-Amin.

En Daud & familyKami ucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada En Daud and Pn Roslina Mohamad, Jawantankuasa Kecil Aktiviti dan Program ATACE, kerana merancang dan menguruskan lawatan ini, aktiviti pertama ATACE pada tahun ini, dengan jayanya.

Pada pertengahan minggu sebelum hari lawatan, En Daud dan Pn Roslina sekeluarga ke Teluk Intan melawat ibu En Daud yang sakit. Mereka bergegas pulang ke KL malam sebelum lawatan kerana hendak menjayakan lawatan ini. Marilah kita doakan agar ibu En Daud cepat sembuh dan semoga Allah merahmati usaha dan pengorbanan mereka sekeluarga, ameen.

Terima kasih kepada Tn Hj Abdul Rahim, Timbalan Pengerusi AJK ATACE, kerana sentiasa membuat panggilan susulan kepada kami sejak daripada mula merancang lawatan ke YR hingga ke akhir lawatan (semasa kami dalam perjalanan pulang ke al-Amin) dan menentukan pengendalian program lawatan ini kemas dan teratur. Beliau juga turut menyusun-aturkan rombongan semasa di al-Amin sebelum bas bertolak.

The ladies at the lobby

Terima kasih dan penghargaan juga kepada semua guru-guru ATACE yang ikut serta—Ustazah Roslina, Ust Amin, Ust Sharqawi, Ust Abdulahi, Ustazah Naim, Ustazah Naailah, Ustazah Muslihah, dan Ustazah Sakinah—dan AJK ATACE yang ikut serta—Pn Rubiah dan Pn Jamilah—serta senior Tingkatan Lima—Abdullah Hafidz Gazali (Ketua Pelajar SMIAA), M Aizuddin Abd Wahab (Pengerusi PETA) dan Ammar Sahrim. Kehadiran semuanya memeriahkan suasana dan menentukan keselamatan dan disiplin pelajar-pelajar kita terkawal.

The form five

Semasa lawatan, Ustazah Roslina dan Ustaz Amin ligat menguruskan lawatan dan mengawal pergerakan pelajar-pelajar. Ribuan terima kasih dan penghargaan kepada mereka berdua.

Ustaz Abdullahi

Ustaz Sharqawi menghasilkan cenderahati yang cantik, tulisan khat ayat al-Quran, untuk dihadiahkan kepada YR. (Kami serahkan bahan-bahan cenderahati tersebut kepada Ustaz Sharqawi pukul 12:30 tengah malam, malam sebelum lawatan—Ustaz Sharqawi migraine masa tu). Semoga Allah memberkati sumbangan Ustaz Sharqawi.

Ustaz Abdullahi, pembaca doa tetap kita, membacakan doa sebelum bas bertolak dari al-Amin.

Akhir sekali, kami mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Pn Darina dan pegawai-pegawai YR kerana meraikan kami semasa lawatan tersebut.

Jemput lawat galeri foto lawatan ke YR ini di sini http://www.atace.org/yrvisit_1.htm

Mohon maaf daripada Ustaz Ahmad Nadzri

Friday, December 7th, 2007

Ustaz Ahmad NadzriUstaz Ahmad Nadzri menelefon saya pada pukul 12:10 pm. Nadanya marah hingga dia lupa perkenalkan diri. Dia rasa terpanggil untuk menelefon saya kerana posting saya yang bertajuk “Cabaran Pelajar-pelajar ATACE” menyentuh Kem Pra-Tahfiz kendalian beliau.

Terlebih dahulu, saya mohon maaf kepada Ustaz Ahmad Nadzri kerana posting saya itu mengandungi kata-kata yang menyentuh hati Ustaz, contohnya “menganak-tirikan”. Juga saya mohon maaf kepada Ustaz kerana petikan arahan Ustaz mengenai penggunaan tandas kepada pelajar-pelajar ATACE tersasar daripada kata-kata sebenar Ustaz.

Saya tabik Ustaz Ahmad Nadzri kerana respons beliau yang pantas menangani isu ini. Bukan sahaja beliau terus telefon saya bagi membetulkan fakta beliau juga telah segera mengaturkan penggunaan tandas dan membuat kertas tanda pemberitahuan.

Jelas sekali Ustaz Ahmad Nadzri ikhlas dalam tindakan beliau. Beliau risau, orang akan membuat tanggapan bahawa Kem Pra-Tahfiz dibuat untuk bersaing dengan ATACE. Dan beliau tekankan juga beliau langsung tidak berniat “menganak-tirikan” pelajar-pelajar ATACE—saya sekali lagi mohon maaf daripada Ustaz.

Tanda Tandas BanatSetelah berbincang dalam telefon dengan Ustaz Ahmad Nadzri, saya terus ke sekolah. Saya berjumpa dengan Ustaz Ahmad Nadzri sekali lagi. Kami bercakap mengenai perkara yang sama, kali ini eye-to-eye. Lepas itu, kami naik ke tingkat satu bangunan sekolah menengah. Ustaz Ahmad Nadzri tunjukkan kertas tanda dan saya ambil gambar untuk rekod laman web kita.

Cabaran pelajar-pelajar ATACE

Friday, December 7th, 2007

Sungguh mencabar menjadi pelajar-pelajar ATACE. Dikala kawan-kawan mereka yang lain sudah berminggu-minggu beraya sakan menikmati cuti sekolah, mereka masih taat bersekolah dan tekun menghafal al-Quran. Mereka mengaji beramai-ramai, mengalun dan menggetarkan ruang-ruang kosong di bangunan-bangunan sekolah dengan ayat-ayat suci al-Quran. Insya-Allah, ia menggamit malaikat berbondongan berhimpun ke sekolah al-Amin, memelihara dan memberkati sekolah kita.

Selasa lepas, pelajar-pelajar Tingkatan Lima menduduki kertas terakhir SPM. Jadi mulai hari Rabu, pelajar-pelajar ATACE mendapat cabaran baru. Mereka yang berseragam sekolah ini dipandang pelik—subjek SPM apa pulak yang budak-budak ni ambil?

Apabila Kem Tahfiz dimulakan di sekolah minggu ini, mereka tertekan lagi. Mereka dilarang menggunakan tandas-tandas di sekolah menengah kerana ia dikhaskan untuk pelajar-pelajar Kem Tahfiz. “Kalau nak ke tandas, pergilah ke tandas sekolah rendah. Kalau tidak, pandai-pandailah sendiri!” begitulah lebih kurang bunyinya arahan yang mereka terima.

Rasa sebak dan geram silih berganti. Mereka dianak-tirikan begitu walaupun dalam keadaan mereka taat pergi ke sekolah, berpakaian seragam sekolah, dan membuat aktiviti yang mulia di sisi Allah. Lagipun mereka ini membayar yuran sekolah sekurang-kurangnya sehingga bulan Disember.

Tengahari semalam, semasa bersiap-siap hendak ke sekolah untuk mengambil anak-anak saya, anak saya telefon, “Abah datang bawa pengikat plastik (cable tie) ya. Makcik kantin berleter kat kami pasal sampah budak tahfiz.”

Oh! Cabaran lagi, fikir saya.

Saya terus ke sekolah, saya minta kakak Pegawai Keselamatan kebenaran untuk bawa masuk kereta ke dalam kawasan sekolah, dan saya pandu masuk kereta ke arah kantin. Anak saya tunjuk dua tong sampah yang berisi plastik sampah yang penuh dengan piring polistirena pakai buang. “Makcik kantin tak nak buangkan sampah tu dan tak bagi buang kat tempat sampah kat belakang tu sebab tahfiz pakai katering luar,” kata anak saya.

Makcik kantin tu juga leterkan pelajar-pelajar ATACE kerana menggunakan kain buruk kantin untuk mengesat meja. Jadi, anak saya beritahu, tadi dia dah masukkan tiga kain buruk ke dalam beg tahfiznya untuk dibawa esok. Lepas makan esok, dia dan kawan-kawannya akan gunakan kain-kain buruk tersebut untuk kesat meja.

Saya ponjot mulut beg-beg plastik sampah tu dan campakkannya ke belakang kereta. Ringan aje sebab ia hanya piring-piring polisterina. Saya buang beg-beg sampah tu di tempat pembuangan sampah dalam perjalanan pulang.