Selesai sudah PAMi, Alhamdulillah
Alhamdulillah, Program Apresiasi & Motivasi 1 (PAMi) ATACE telah selamat dan berjaya diadakan pada 1 Mei 2008 bertempat di LT5, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS), UIAM.
Montaj foto PAMi boleh dilihat di sini.
PAMi dirasmikan oleh YM Ustaz Md. Farid b. Samad al-Hafiz, Pengurus/Imam Masjid SHAS, UIAM. Ribuan terima kasih kepada YM Ustaz Farid.
Dalam ucapan perasmiannya, YM Ustaz Farid berpesan agar bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita kerana boleh membaca dan menghafaz al-Quran. Apabila Allah pilih kita untuk jadi hafiz, ia bermakna Allah sayang kepada kita. Allah tidak azab orang yang dalam hatinya ada al-Quran. Beliau juga mengingatkan bahawa menghafaz al-Quran adalah sunat, tetapi mengingat hafazan adalah wajib.
Sebelum itu, Tuan Haji Dasuki Mohd, Pengerusi PIBG SMIAA memberikan ucapan pembukaan. Warga ATACE mengucapkan terima kasih tak terhingga kepada Tuan Haji Dasuki. Tuan Haji Dasuki menegaskan bahawa PIBG SMIAA komited dalam menentukan institusi ATACE ini berterusan. Ia selari dengan misi SMIAA iaitu melahirkan generasi al-Quran, insan Soleh wa Musleh. Sebagai Pengerusi PIBG SMIAA, visi beliau ialah “Satu rumah satu orang hafiz.”
Ustaz Jumadi menyampaikan penerangan mengenai “Kaedah Hafalan Al-Quran” ATACE. Penyampaiannya padat dan menarik. Terima kasih Ustaz Jumadi.
Saudara Mohd Zakil pula, AJK Kelab Kelas Tahfiz PIBG SMIAA, menunjukkan Sistem Pengurusan Tahfiz ATACE yang telah beliau bangunkan.
Sistem Pengurusan Tahfiz ini adalah satu sistem dalam talian (online) bagi mengurus dan memantau hafazan murid. Ini bermakna semua yang terlibat dengan ATACE—ibubapa, guru-guru, pelajar, penaung, penasihat, penaja—yang mempunyai akses kepada Internet boleh menggunakan Sistem Pengurusan Tahfiz (SPT) ini. Melalui sistem ini, ibubapa insya-Allah boleh memantau pencapaian hafalan terkini anak-anak mereka, di mana saja mereka berada, di pejabat ataupun di seberang laut, menggunakan PC ataupun PDA, asalkan mereka ada akses kepada Internet.
SPT ialah satu milestone dalam perjalanan ATACE, memanfaatkan teknologi maklumat dalam menguruskan operasi sebuah program tahfiz. Semoga Allah merahmati dan memurahkan rezeki Sdr Mohd Zakil.

ATACE ingin menyatakan penghargaan kepada individu-individu dan organisasi-organisasi berikut dalam menjayakan PAMi kali ini:
- Semua ibubapa, guru-guru, para murid, AJK ATACE, AJK PIBG, dan SMIAAG yang telah menyumbang kepada kejayaan murid-murid dan guru-guru ATACE serta seterusnya meraikan kejayaan mereka pada PAMi ini.
- Ustaz Md Farid bin Samad al-Hafiz dan semua kakitangan Pejabat Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM kerana membenarkan penggunaan LT5 dan kawasan sekitarnya dan juga menyediakan peralatan siaraya agar PAMi berjalan dengan lancar—seluruh warga al-Amin, khasnya ATACE, mengucapkan ribuan terima kasih. (Terima kasih juga kepada Tn Hj Abdul Rahim kerana menghubungkan ATACE dengan organisasi UIAM ini).
- Guru-guru, para ibubapa, dan para murid yang bertungkus lumus menyiapkan segala keperluan PAMi—bunga telur, buku cenderahati, perhiasan pentas, mobile internet connection, dan banyak lagi.
- Ustazah Roslina dan Ustaz Amin menyumbang idea, tenaga, dan masa tanpa mengenal jemu dan penat sejak mula perancangan PAMi hingga ke penghujungnya.
- Puan Roslina dan En Mohd Daud sekeluarga merupakan tunjang utama, the Project Directors and creative force, kepada PAMi—cuma Allah yang boleh membalas jasa mereka.
- Puan Sarifah dan En Fauzi sekeluarga yang menyediakan makanan yang sungguh menyelerakan dan perkhidmatan yang cekap, lengkap, dan efisien—semoga Allah memberkati mereka sekeluarga.


